Usahlah terlalu stress dengan pasangan. Masam mencuka, diam membisu, pendam seribu, dendam terbuku, kecewa dipalu, ammarah dipadu, lancang sama laju, berat dipangku. Lalu akhirnya hilang mawaddah, rahmah dan sakinah.
Cuitlah sekali sekala. Mengalahlah sekali sekala. Diamlah sekali sekala. Usiklah sekali sekala. Senyumlah sentiasa. Andai kita tidak memulakan, masakan berubah semuanya?
Mengharap pasangan berubah adalah umpama menunggu bulan jatuh ke riba. Tidak akan berubah manusia dengan kata-kata, bahkan kita akan penat dan kecewa. Lebih-lebih lagi apabila pasangan seakan buat tidak tahu.
Jadi bagaimana?
Kitalah yang harus ubah diri dahulu. Berasa diri sudah bagus dan baik akan membuat pasangan juga berasa demikian. Sama keras, sama ego, sama menanti perubahan pasangan dan sama sukar dilentur. Percayalah.
Sebaliknya, kesabaran kita mendidik diri sendiri supaya menjadi lebih baik akan menempiaskan kebaikan kepada pasangan dan anak-anak. Mereka melihat, lalu Allah memberikan hidayah. Mengapa kita terlalu gundah?
Yang membuat kita tertekan ialah kita mahu merubah orang lain menjadi seperti kita. Itu bagus, tapi kita akan penat bila mereka tidak mengikut. Jadi, kita yang harus berubah dahulu.
"Saya tak ada masalah, kak. Saya kerja bagus, saya jaga solat, saya mengaji dan beri duit pada mak ayah. Suami saya yang bermasalah. Dia yang tidak solat. Dia tidak mahu kerja. Dia yang banyak main game. Dia kaki perempuan."
Begitulah luahan sesetengah isteri ataupun suami.
Kalau kita sudah solat, perkasakan lagi solat. Jaga solat awal waktu. Perbaiki lagi amalan yang lain. Bacaan Al-Quran kita sebelum ini tanpa menghiraukan tadabbur, cuba mulakan tadabbur memahami maknanya.
Selalu kita kuat membebel, kurangkan. Mulakan perkataan yang baik. Harmonikan dengan perubahan diri sendiri dahulu. Selalu kita cepat marah, kuatkan sabar. Selalu kita stress rumah bersepah, cuba tenangkan. Berubah itu perlukan mujahadah.
Bukan sehari dua terus jadi. Tapi harus mulakan dari sekarang. Usahlah mencipta takdir yang salah yang kita sendiri tidak mahu berdamai dengannya. Usahlah membenci kehidupan yang kita sendiri memilihnya. Sebaliknya pilihlah bahagia.
Usaha kita berubah untuk menjadi lebih baik akan menarik rahmat Allah. Allah akan kasihkan orang-orang yang membalas keburukan dengan kebaikan. Allah suka orang yang bersabar setiap ujian perasaan. Allah suka kita berterusan buat kebaikan.
Senyumlah, saat kenangan masih tersimpan. Senyumlah, saat Allah mengizinkan hidup berpasangan. Berhenti menyebarkan keburukan pasangan. Berhentilah perli-perli pasangan. Berhentilah menyakiti pasangan.
Mulakanlah merubah diri sendiri, dan perkasakan doa buat pasangan. Allah yang mengizinkan pasangan itu menguji kita, jadi Allah lebih tahu yang terbaik buat kita. Kita? Perbetulkan diri lagi dan lagi agar persiapan Akhirat kita lebih manis dan terpandu. InsyaAllah.
Bahagia itu pilihan kita. Nikmatilah dengan hati yang sempurna.
cp : #kakidayangbahagia