Semasa kes difailkan, suami dan isteri masih tinggal di kediaman kelamin di Negeri Selangor Darul Ehsan di rumah yang dibeli oleh isteri selepas berkahwin. Hasil dari perkahwinan , kedua-dua belah pihak telah memperolehi dua (2) orang anak perempuan yang comel.
Pada tempoh awal perkahwinan, isteri menyatakan bahawa suami mempunyai pekerjaan tetap dan sebarang masalah kewangan dapat diatasi pada ketika itu. Sementara isteri pula pada awal perkahwinan sehingga ke saat dan ketika ini bekerja  di salah sebuah institusi kewangan yang terbesar di negara ini.
Walaubagaimanapun, bermula dari tahun 2001, isteri menyatakan bahawa rumahtangga mereka mula menghadapi bibit-bibit keretakan disebabkan sikap suami yang beberapa kali berhenti kerja di atas alasan ketidakserasian dan kesesuaian    dengan   pekerjaan yang merupakan di antara faktor terbesar di atas kegagalan suami menunaikan tanggungjawab beliau di dalam memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Demi menjaga kerukunan rumahtangga mereka, isteri pernah mengambil inisiatif mencarikan pekerjaan untuk suami akan tetapi usaha isteri tersebut menemui jalan buntu apabila suami tidak serius untuk bekerja menyara keluarga menyebabkan isteri semakin lama bertambah tertekan dengan sikap suami tersebut.
Segala perbelanjaan asas dari segi makan, minum dan pakaian  isteri dan anak-anak tersebut ditanggung oleh isteri dan isteri terpaksa berjimat cermat dengan pendapatan yang diperolehinya untuk memastikan keperluan rumahtangga mereka sentiasa mencukupi.
Seterusnya, isteri menyatakan bahawa isteri terpaksa memikul beban untuk memastikan keperluan nafkah anak-anak dapat dipenuhi dengan sempurna di mana kos perbelanjaan tiap-tiap seorang daripada mereka terus meningkat dari semasa ke semasa.
Suami merupakan seorang suami yang sambil lewa melaksanakan tanggungjawab terutamanya dari segi penyelenggaraan rumahtangga dan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Suami langsung tidak memberatkan nafkah isteri dan anak-anak.
Isteri menyatakan untuk memastikan suami mudah untuk pergi bekerja, isteri sanggup membuat pinjaman untuk membelikan sebuah kereta untuk suami. Pada peringkat awal, isteri membayar pinjaman tersebut  dan mengikut perbincangan di antara isteri dan suami, selepas beberapa bulan apabila suami semakin stabil dengan pekerjaannya, suami pula akan meneruskan pembayaran pinjaman tersebut. Malangnya,suami telah gagal melunaskan pinjaman tersebut sehingga membebankan isteri dan memberikan kesan buruk ke atas nama isteri.
Dalam pada itu, suami juga sering menuduh isteri melakukan perkara-perkara yang tidak baik tanpa sebarang bukti yang kukuh, menimbulkan kekecohan di tempat kerja isteri sehingga menyebabkan isteri hilang konsentrasi dan tidak dapat menjalankan atau menumpukan perhatian kepada tugas beliau.
Suami juga telah mendera isteri dari segi fizikal dan mental dan lazim menyakiti emosi dan mental isteri menjadikan kehidupan isteri penuh penderitaan disebabkan oleh kelakuan suami yang memberi aib kepada isteri di kalangan jiran dan rakan-rakan sekerja.
Disebabkan segala faktor-faktor yang tersebut di atas, isteri telah merujukkan masalah yang berlaku di antara beliau dan suami kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah dan pejabat agama berkenaan telah mengeluarkan surat ditujukan kepada pihak suami untuk menyelesaikan masalah isteri dan suami.
Usaha isteri untuk membaikpulih rumahtangga mereka telah gagal disebabkab suami tidak memberikan komitmen beliau. Sikap suami bertambah buruk apabila beliau pernah melakukan penderaan fizikal ke atas isteri.
Perkahwinan suami dan isteri telah mengalami keretakan yang amat serius dan tidak mungkin dibaiki lagi akibat daripada perbuatan suami yang sangat tidak bertanggungjawab dan isteri tidak sanggup lagi untuk hidup bersama suami.
Oleh yang demikian, Plaintif menuntut:
Cerai Fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga  Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah mendengar segala keterangan dan sabit bukti, perkahwinan suami dan isteri dibubarkan.