Semalam buka facebook... terkejut baca title ni : Tragis ibu bapa mati bersama ( Mak Dan Abah sahabat kita Intan Izida) posteb by Kima... macam pernah terbaca.. tapi aku lupa kat mana.... tapi bila aku teruskan membaca paparan itu... lantas raut wajah intan dengan lesung pipit dipipi jelas dikepala... 2@3 hari lepas baru aku tgk2 gambar kawen dia... tup2 dugaan begini melanda... sebagai sahabat aku mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah buat Intan Izida dan keluarga.. semoga mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian ini.. dan Al- fatihah untuk kedua ibu bapa nya.. Amin ..
Keratan penuh : HARIAN METRO
Tragis ibu bapa mati bersama
Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my
IPOH: “Sebelum ini, ramai saudara-mara dan kenalan lama ibu bapa sering bergurau mengatakan mereka pasangan sehidup semati kerana tidak pernah berenggang walau ke mana sekali pun, termasuk ke kedai runcit berhampiran rumah.
“Saya tidak sangka kata-kata gurauan itu jadi kenyataan apabila mereka berdua pergi meninggalkan kami sekeluarga serentak dan lebih menyedihkan, ia berlaku di depan mata kami,” kata Izma Zainal Amran, 36, anak perempuan pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Grik, petang kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang di Kilometer 48, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Zainal Amran Mohamed Ali, 66, dan isteri, Suhaimah @ Sahemah Mohd Ali, 62, terbunuh apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta lain dari arah bertentangan yang dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju.
Lebih tragis, kemalangan itu berlaku di depan ahli keluarga yang menaiki empat lagi kenderaan di belakang ketika dalam perjalanan ke majlis menyambut menantu di Tanah Merah, Kelantan
Kereta Proton Saga itu baru saja dibeli arwah bapa tiga hari lalu dan ia pertama kali digunakan semalam (kelmarin) untuk menghantar adik perempuan saya, Intan Azida, 29, ke rumah mentuanya di Tanah Merah selepas melangsungkan perkahwinan di sini pada 22 November lalu.
“Kami menaiki lima kenderaan dengan arwah ibu dan bapa menaiki kereta nombor dua di belakang kereta dipandu Intan Azida, manakala saya dalam kereta keempat.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Sebaik tiba di kawasan berselekoh di tempat kejadian, saya lihat kereta Toyota itu meluru laju dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta dinaiki ibu dan bapa saya yang dipandu adik bapa, Shahrul Na’am, 27,” kata Izma yang ditemui selepas pengebumian ibu dan bapanya di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di sini, petang semalam.
Menurutnya, kereta di belakang kenderaan dinaiki ibu dan bapanya yang dipandu bapa saudaranya terpaksa mengelak daripada melanggar mereka sehingga memasuki longkang di tepi jalan.
“Pilu hati kami semua melihat ibu yang mengalami pendarahan teruk di kepala manakala bapa lemah tetapi tidak mengalami kecederaan luaran.
“Sebaik menarik keluar semua lima ahli keluarga kami daripada kenderaan yang remuk teruk itu, kereta berkenaan terbakar.
“Saya sempat mengajar ibu mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di depan kami manakala bapa pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Grik,” katanya.
Menurut Izma, doktor memberitahu bapanya mengalami kecederaan dalaman teruk akibat impak rempuhan manakala ibu pula parah di leher.
“Saya sedih dan terkilan kerana ketika kejadian, semua kenderaan rombongan kami dipandu perlahan memandangkan jalan berkenaan bahaya dan banyak selekoh.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dan anggap ia takdir kerana Allah lebih menyayangi mereka,” katanya sebak.
Sementara itu, Intan Azida berkata, majlis menyambut menantu di rumah suaminya di Tanah Merah ditukar majlis tahlil kerana semua persediaan sudah dilakukan termasuk menyembelih seekor lembu.
“Keluarga suami turut sedih dan terkilan dengan kejadian yang berlaku pada hari bahagia saya. Jika pemandu kereta itu memandu secara berhemah, mungkin kejadian ini tidak berlaku.
“Saya anggap kejadian ini takdir dan ujian. Namun jauh di lubuk hati, saya anggap tragedi ini ada hikmahnya kerana arwah ibu dan bapa pasangan paling bahagia dan seperti sudah berjanji sehidup semati,” katanya
Al Fatihah.....